Make your own free website on Tripod.com

METODOLOGI PENYELIDIKAN 2004

 

Panduan Pembentukkan Hipotesis Kajian dan Mengenalpasti Permasaalahan

 

Sebelum kita meneruskan, disertakan sedikit keterangan mengenai hipotesis.

 

Menurut Fraenkel (1993) menyatakan hipotesis ialah merupakan suatu ramalan terhadap kemungkinan dapatan di dalam penyelidikan.  Menurut Ahmad Mahdzan Ayob (1992) menyatakan bahawa hipotesis ialah merupakan saranan sementara tentang hubungan antara dua angkubah (atau lebih) yang didapati melalui deduksi.  Menurut Maleske (1995) menyatakan bahawa hipotesis ialah merupakan peramalan terhadap apa yang akan berlaku pada masa hadapan.  Ianya berbeza dengan teori yang merupakan penerangan tentatif berkaitan kenapa sesuatu tingkah laku itu berlaku.

 

Jenis – jenis Hipotesis

 

Di dalam membentuk hoptesis terdapat dua jenis yang utama (Mohd Majid,1998).  Antaranya ialah :

 

1.          Hipotesis Induktif.  Di dalam hipotesis ini ianya dibentuk melalui proses cerapan.  Di dalam hipotesis ini penyelidik akan menentukan susur galur dan kemungkinan hubungan antara pemboleh ubah yang dikaji.

 

2.          Hipotesis deduksi.  Di dalam hipotesis ini ianya dibentuk daripada teori.  Ianya akan memandu penyelidikan ke arah sistem pengetahuan yang lebih umum.

 

Kelebihan menggunakan Hipotesis

 

Menurut Fraenkel (1993) menyatakan kelebihan menggunakan hipotesis di dalam penyelidikan ialah :

 

1.                  Penyelidikan boleh dilakukan dengan lebih mendalam. 

2.                  Dengan memulakan dengan hipotesis ianya melibatkan falsafah sains. 

3.                  Dengan menggunakan hipotesis ianya dapat mengesan atau tidak hubungan antara 

                     perkara yang dikaji. 

4.                  Mengetahui perkara yang ingin dikaji.

 

  

Ciri – Ciri hipotesis

 

Di dalam membentuk hipotesis yang baik terdapat beberapa ciri hipotesis yang baik.  Antaranya ialah : 

 

1.          Menduga hubungan antara dua atau lebih pemboleh ubah.  Dengan kata lain ianya cuba untuk mengkaji sama ada kedua – dua hubungan tersebut mempunyai hubungan ataupun tidak (mampu diuji).

 

2.          Hipotesis tersebut seharusnya dinyatakan secara logik, jelas dan terang.  Dengan kata lain ianya harus seragam dan tepat terhadap apa yang ingin diukur.   

 

3.          Selain itu ianya berupaya untuk diuji sama ada hipotesis itu ditolak atau disahkan. Ianya cuba untuk mengenal pasti apakah hubungan antara kedua – dua pemboleh ubah tersebut.  Ini bermaksud bahawa ianya cuba untuk membandingkan sama ada terdapat perkaitan atau tidak pada bab hasil dan perbincangan.     

 

4.          Hipotesis itu juga seharusnya bersifat khusus dan bukannya bersifat umum.  Jelasnya hipotesis yang dibentuk adalah khusus kepada sesuatu perkara yang ingin diukur.  Ianya tidak boleh melebihi daripada apa yang seharusnya dan bersifat umum.  Jelasnya ia perlu mengukur pemboleh ubah – pemboleh ubah  yang dikaji sahaja. 

5.          Hipotesis yang dibentuk juga seharusnya berbentuk khusus agar ianya berupaya dijadikan panduan.  Jika hipotesis tersebut adalah khusus, secara tidak langsung ianya akan memudahkan proses untuk memastikan terdapat hubungan / perkaitan atau perbezan antara pemboleh ubah - pemboleh ubah tersebut.    

6.          Sesuatu hipotesis tidak seharusnya mempunyai pertimbangan nilai, moral atau etika iaitu saranan yang menyatakan sesuatu itu baik atau buruk (Ahmad Mahdzan Ayob, 1992).  

7.         Hipotesis yang dijalankan seharusnya dinyatakan secara konsepsi sahaja dan tidak dinyatakan dengan operasional (Ahamd Mahdzan Ayob,1992).  

8.         Mempunyai hubungan antara teori yang ingin dikaji (Sharma et al, 1988). 

9.         Perlu spesifik terhadap perkara yang ingin dikaji.

 

Pembentukan Hipotesis berasaskan Tanggapan

 

Di dalam menentukan hipotesis kajian, penyelidik berhadapan dengan realiti dua tahap yang penting bagi memastikan pengukuran kajian dapat dijalankan.  Dua tahap tersebut ialah :

 

1.                  Tahap Operasional.  Bagi tahap opersional penyelidik seharusnya mentakrifkan fenomena - fenomena di dalam istilah yang boleh diperhatikan dan diuji.  Ianya hampir sama dengan definisi operasional. 

 

2.                  Tahap Konseptual.  Bagi tahap konseptual penyelidik seharusnya mentakrifkan fenomena - fenomena dalam istilah yang asas (dasar) bersama dengan kejadian lain.  Konsep sedemikian sememangnya sukar untuk diukur.  Ini kerana ianya melibatkan definisi yang luas.  Ianya hampir sama dengan definisi konseptual.  Jelasnya penyelidik perlu menggunakan definisi operasional di dalam proses pengukuran.    

 

Pengujian Hipotesis

 

Pengujian hipotesis ialah satu proses untuk memastikan sama ada sesuatu andaian saintifik yang dilakukan itu diterima atau sebaliknya.  Tujuan utamanya ialah untuk menentukan probabiliti (kemungkinan) yang sesuatu itu adalah benar dan dapat disokong oleh fakta.  

 

Daripada sini hipotesis kajian boleh dibentuk sama ada hipotesis tersebut berarah atau tidak berarah.  Hipotesis yang berarah ialah merupakan hipotesis yang menentukan arah jangkaan jawapan kajian dan sebaliknya bagi hipotesis tidak berarah.      

 

Pernyataan Hipotesis

 

Di dalam membentuk hipotesis terdapat dua jenis hipotesis yang sering digunakan.  Antaranya ialah :

 

1.                  Hipotesis Nul (kosong) 

 

Hipotesis ini adalah merupakan hipotesis sementara yang tidak pincang (Mohd Majid, 1998).  Ianya adalah merupakan hipotesis negatif atau menunjukkan tiada perbezaan / tiada terdapat persamaan / tiada perhubungan / tiada terdapat perkaitan antara kedua – dua pemboleh ubah (sama  ada berarah atau tidak berarah). 

 

2.                  Hipotesis Alternatif / penyelidikan

 

Ianya biasa dibentuk pada peringkat awal sesuatu penyelidikan (Mohd Majid, 1998).  Hipotesis ini digunakan sebelum data dicerapkan.  Ianya adalah merupakan versi hipotesis positif atau menunjukkan terdapat hubungan / terdapat persamaan / terdapat perbezaan / terdapat perkaitan antara kedua – dua pemboleh ubah (sama  ada berarah atau tidak berarah).

 

Selalunya di dalam penulisan kedua – dua hipotesis nul dan alternatif ditulis sekali.  Walau bagaimanapun terdapat juga hanya hipotesis nul sahaja yang ditulis.  Ianya banyak bergantung kepada penyelidik.  Ini tidak bermaksud hipotesis alternatif tidak wujud ; ianya tetap wujud.

 

Walau bagaimanapun hipotesis nul adalah amat diperlukan kerana ianya mampu untuk membuat interpretasi terhadap tujuan hipotesis dan interpretasi.  Ini terutama jika ianya diterima atau ditolak.  Cumanya jika hipotesis nul ditolak maka pilihannya adalah hipotesis alternatif.     

 

 

Beberapa perkara perlu diambil kira dalam menjalankan pembentukan hipotesis dan mengenalpasti permasaalahan. Di antaranya adalah kita perlu tahu akan :

 

  1. sebab dan akibat/kesan
  2. objektif – pencapaian, ruang diantara perancangan dan kejadian kemungkinan
  3. pencapaian dan polisi atau dasar
  4. rangkakerja polisi iaitu pelaksanaannya
  5. kajian awal
  6. penyelidikan/kajian sedia ada
  7. sejarah atau latar belakang
  8. kaedah membuat penilaian
  9. penjelasan
  10. komen , komplen
  11. trend semasa
  12. perubahan pada persekitaran
  13. ruangan diantara kejadian sebenar dan perancangan
  14. laporan dan kejadian sebenar

 

 

Dibina pada 08/17/04 dan dikemaskini pada 08/17/2004 oleh Azizi@2004