Utusan Malaysia
Kemaskinikan maklumat laman web tiap bulan
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Jabatan atau agensi kerajaan yang mempunyai laman web harus mengemaskinikan maklumat yang disediakan secara berkala setiap bulan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali.
Sehubungan itu, beliau berkata, ketua-ketua jabatan atau agensi perlu bertanggungjawab ke atas kemudahan yang ditawarkan demi memastikan maklumat yang disediakan adalah terkini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis perpisahan dan sambutan menteri dan timbalan menteri baru di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, beliau memberitahu:
''Status laman web sesebuah jabatan kerajaan banyak bergantung kepada ketua jabatan.
''Sekiranya semua jabatan kerajaan dapat menubuhkan laman web yang kemas kini, ia merupakan satu pencapaian yang besar bagi kerajaan.''
Beliau turut meminta semua ketua jabatan kerajaan supaya menjadikan usaha mengemaskinikan laman web itu sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan seberapa segera.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, sendiri mahu urusan mengemaskinikan laman web agensi kerajaan dijadikan sebagai proses yang berterusan.
Menurutnya, Unit Pemodenan Tadbiran Malaysia (Mampu) akan mengawasi perjalanan laman-laman web berkenaan.
Bagi laman web Parlimen pula, katanya, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelak daripada berlaku sebarang kesulitan.
Abdul Halim tidak menafikan terdapat beberapa laman web jabatan dan agensi kerajaan yang tidak kemas kini akibat kekurangan tenaga mahir untuk mengendali dan meningkatkan mutu halaman web berkenaan.
Posted by metos2004
at 12:20 AM WST